Tak Payahlah Pilih Nurse! Jangan Kawin Dengan Nurse!

“Tak payahlah pilih nurse!”

Pakcik aku membentak.

“Kau carilah perempuan yang ada masa untuk kau. Yang kerja bisnes online berlambak kot yang boleh duduk rumah. Yang kau nak jugak dekat nurse tu dah kenapa?!”

Aku terdiam.

Nak melawan, dialah bapa saudara yang mengambil alih tugas jaga kami sekeluarga secara tidak langsung setelah pemergian kedua orang tua kami.

“Kau tahu tak misi kerja siang, kerja malam, kerja shift, on-call la apa la. Sibuk kau tak, sibuk! Sama jugalah kalau kau pilih doktor, masa tak ada untuk kau. Gaji banyak buat apa kalau masa dengan keluarga tak ada.”

“Kau batalkan saja niat untuk meminang budak tu, kau cari yang lain. Bukan apa, untuk kebaikan kau jugak.”

Aku terkedu saja. Depan adik-adik aku pula tu dimarahinya. Tapi, aku rasa tidak adil pada gadis yang telah ku berikan harapan dan rasa kasih padanya. Tidak mendapat mendapat pembelaan yang sewajarnya.

“Ayah Ngah, Acap minta maaf. Acap tak boleh pilih orang lain. Acap dah berjanji dengan dia untuk jadikannya isteri Acap….”

Pakcikku berdiri di ruang tamu. Rokok di tangannya dilemparkan ke luar tingkap. Nampak berang.

“Cinta tak bawa ke mana!”

“Aku tak nak kau jadi macam adik aku yang kahwin dengan nurse kemudian bercerai-berai sebab tak ada masa bersama. Kau sekarang bolehlah cakap manis sampai ke Gunung Kinabalu pun sanggup daki.

Realiti tak seindah mimpi!”

Hah. Sudah.

Suasana makin tegang.

“Ayah Ngah, dia gadis baik.

Nak kata tak ada masa, dunia sekarang ni siapa yang betul-betul ada banyak masa untuk keluarga?

Kita duduk kat KL ni, Subuh dah keluar, senja baru sampai umah. Kadang-kadang sampai malam hadap jem. Balik-balik, dah penat. Masa dengan anak-anak isteri berkurang. Hujung minggu saja betul-betul ada masa.

Hampir semua orang kurang masa bersama. Kuantiti masa tak penting, yang penting adalah kualiti masa yang digunakan bersama.

Masa didik anak, kurang.
Masa didik isteri, kurang.

No wonderlah umat sekarang tenat, sebab kekurangan masa tumpu pada kerja. Tambah-tambah lagi zaman ekonomi kian tenat. — Itu yang akhirnya menyebabkan anak isteri makin jauh dengan agama.

Tapi, itu takkan terjadi kalau pandai hargai masa. Acap akan pastikan masa takkan terbuang begitu saja. Acap akan jadi suami dan ketua keluarga yang baik. Insya-Allah.”

Bapa saudaraku mendengus. Tidak puas hati.

“Kau boleh janji sekarang. Belum tentu kau boleh tunai. Sebab itulah aku cadangkan cari yang betul-betul ada masa untuk didik anak-anak kat rumah masa kau pergi kerja.

Kau kena tahu, guru pertama dalam rumah adalah ibu anak itu sendiri.”

Aku terdiam lagi. Biarkan sejuk dulu seketika.

Kemudian, aku pula berdiri. Mendekati pakcik. Perlahan-lahan, aku pegang kedua-dua lengannya.

Dengan nada rendah, aku katakan,

“Ayah Ngah, Acap bukan nak lawan Ayah Ngah. Ayah Ngah dah Acap anggap macam ayah kandung Acap sendiri.

Tapi, kali ini, berilah Acap peluang untuk tentukan masa depan Acap sendiri. Acap takkan hampakan Ayah Ngah. Rumahtangga yang bahagia dan baik tu, bukan hanya pada bahu isteri. Tapi seluruh ahli dalam keluarga tu. Suamilah jadi ketua. Bukan isteri yang jadi nakhoda.

Ayah Ngah, Acap pun tak nak lukakan hati orang yang Acap kasihi. Beri janji dan harapan, kemudian tarik semula segalanya. Sakitnya tidak terperi.

Ayah Ngah, tidak semua yang bernikah dengan jururawat itu tak bahagia. Ramai yang bahagia. Bahagia atau tidak, kena selalu mohon pada Allah supaya selalu eratkan, selalu jaga rumahtangga. Suami isteri saling memahami dan wujud toleransi. Tak kiralah apa saja kerjanya.

Ayah Ngah setuju tak dengan Acap?”

Aku perhati ke dalam matanya dalam-dalam. Tidak ku lepaskan lengannya. Mengharap.

Dia mengangguk. Tidak menyerang lagi.

“Baiklah…kalau itu yang Acap mahukan. Ayah Ngah ikut saja. Bukan Ayah Ngah nak halang kebahagiaan anak-anak, Ayah Ngah cuma bimbang..”

“Ayah Ngah, jangan risau, serahkan segalanya urusan takdir pada Tuhan. Jika bahagia Dia tentukan, bahagialah. Jika kecundang di tengah jalan, itu ujian buat Acap.

Tiada satu pun ujian Allah itu buruk buat hamba-Nya. Ada hikmah besar di sebaliknya.

Lagipun, tugas nurse ni dicintai Allah. Bantu selamatkan nyawa. Orang raya, dia tak raya. Orang tidur, dia tak tidur. Tiada nurse, tempang kerja doktor.”

Ayah Ngah nampak mengalah sepenuhnya.

“Baiklah.”

Kata harus dikota.

Jangan lama-lama dalam hubungan, sampaikan pada orang tuanya yang kita akan datang meminang anak mereka.”

Aku terus mendakap Ayah Ngah erat-erat tanda terima kasih dan syukur. Adik-adikku tersenyum melihat kami sambil mengelap air mata.

Kau nak kahwin, kau kena explain sampai jelas nyata. Orang boleh faham kalau kena gaya dan cara.

Perjuangkan apa yang kau sedang pertahankan.

Sumber: Muhammad Rusydi

Selamat Hari Jururawat