Penting! Jangan Tinggalkan Kucing Di Rumah Tanpa Amalkan 10 Tips Ini.

10 tips tinggalkan kucing di rumah

Penting! Jangan Tinggalkan Kucing Di Rumah Tanpa Amalkan 10 Tips Ini. Kucing ibarat anak sendiri bagi sesebuah keluarga yang cukup cintakan haiwan kesayangan Nabi ini. Apabila pulang beraya ke kampung halaman, masalah penjagaan haiwan yang diibaratkan seperti anak ini menjadi fokus utama.

Jika ada yang memilih untuk meninggalkan kucing-kucing ini di asrama atau pusat peliharaan, ia mungkin dianggap sebagai langkah bijak namun banyak aspek masih lagi perlu diambil kira. Perlu memastikan asrama  itu benar-benar beroperasi dengan baik dengan melihat review daripada pelanggan.

BACA: 6 Tips Bagi Elakkan Kucing Anda Kencing Merata-Rata

Kes salah sebuah pusat jagaan kucing di Damansara Damai yang membiarkan kesemua kucing-kucing bertuan ini haus tanpa air dan makanan adalah satu perkara yang sangat zalim. Kes yang berlaku enam tahun lalu ini masih terkesan di hati setiap daripada kita. Sejak itu ramai daripada kita yang memilih untuk meninggalkan haiwan  kesayangan mereka di rumah sahaja. Selain terjaga dengan baik, risiko jangkitan kulat dan penyakit-penyakit lain juga lebih terjaga.

10 Tips Tinggalkan Kucing Di Rumah

Namun berbagai aspek perlu diambil kira sebelum meninggalkan kucing bersendirian di rumah. Sepuluh perkara ini patut anda buat sebelum melangkah pulang ke kampung halaman.

1. Mandikan Terlebih Dahulu

Sebelum balik pastikan kucing-kucing anda dimandikan terlebih dahulu. Menghantar ke kedai dengan pakej lengkap pembersihan mungkin lebih menjimatkan masa. Balik sahaja ke rumah, si comel anda berbau harum dan segar. Memastikan mereka bersih dan segar adalah penting supaya kucing lebih rasa selesa untuk ditinggalkan lama.

2. Beritahu Setiap Hari

Dua tiga hari sebelum pulang beritahulah kucing-kucing anda akan ketiadaan anda kelak. Bercakaplah dengan mereka seperti biasa dan pujuklah mereka untuk tinggal bersendirian. Mungkin ia dianggap kelakar namun si comel memahami setiap apa yang anda tuturkan. Percaya atau tidak, tanpa anda memberitahu mereka sekalipun, kucing kelihatan murung dan seperti memahami akan pemergian anda.

3. Makanan Guna ‘Auto Food Dispenser’

Sebelum meninggalkan kucing-kucing ini pastikan anda sudahpun mempunyai bekas makanan jenis ‘auto dispenser’, yang boleh membekalkan makanan sentiasa kepada si comel. Bila makanan berkurang, makanan akan jatuh dengan sendirinya ke dalam tempat makan. Jadi tiadalah masalah kehabisan makanan. Bekas ini penting. Kena ada. Sediakanlah makanan sepenuh-penuhnya. Biar lebih asal jangan terkurang. Begitu juga dengan air. Beli jenis yang sama, khusus untuk air.

 

4. Pasir Lebih

Selain makanan, pasir juga amat penting. Ada si comel yang kurang selesa melepaskan hajatnya apabila ada najis di dalamnya. Mereka sama seperti kita yang banyak ragam dan peelnya. Jadi sediakanlah bekas pasir lebih khusus untuk tujuan ini. Menyediakan dua hingga tiga bekas pasir yang besar adalah wajar.

5. Pengudaraan Tepat

Jika anda meletakkan si comel di dalam bilik tertutup, pastikan tingkap di buka sedikit. Jangan di buka terlalu luas kerana bimbang ia keluar melaluinya. Pastikan tingkap anda ada besi pengadangnya.

6. Pasang Lampu

Biarkan lampu sentiasa terpasang sepanjang masa. Ini bagi mengelakkan mereka berada di dalam keadaan gelap ketika malam hari. Walaupun kucing mampu untuk ‘survive’ di dalam cahaya gelap, namun membuka lampu dirasakan lebih selamat bagi mereka.

BACA: 6 Sebab Kenapa Kucing Takut Pada Air

7. Berikan Teman

Orang kata hidup biar berteman. Begitu jugalah si bulus kesayangan kita ini. Jika ia seekor sahaja, ada baiknya anda bawa dia pulang bersama atau letakkan dia di asrama. Namun jika berteman, itu tidak mengapa.

8. Letakkan Pakaian

Ini penting. Kucing kita terutama jenis parsi dan campuran cepat murung tanpa tuannya. Tinggalkan baju anda yang sudah dipakai bagi meninggalkan sedikit bau buatnya. Ini dapat mengelakkan rasa murung.

9. Ada Penghadang

Jika anda membiarkan si comel berada pada satu-satu kawasan yang luas seperti dapur, pastikan diletakkan pengadang seperti pengadang pagar. Ini bagi membolehkan ia tidak bergerak ke kawasan lain seperti ruang tamu dan bilik. Namun jika anda meletakkan kucing-kucing ini di dalam sebuah bilik, pastikan bilik di tutup dengan rapat. Ada sesetengah kes, si comel masih berjaya membukanya dengan menolak kuat.

10.Mainan Tambahan

Mainan perlu ada. Selain mengelakkan rasa bosan dan murung, mainan boleh membantu kucing-kucing anda bermain dengannya. Cara ini buat dia terlupa yang dia rindukan anda.

Penutup

Amalkan 10 tips ini bagi memastikan si comel anda selamat ditinggalkan di rumah. Sayangilah si comel anda seperti anda menyayangi keluarga anda. Jangan bertindak zalim kepada binatang peliharaan. Sekiranya ada komen atau tips yang hendak ditambah boleh berhubung dengan kami. Perkongsian ini sangat berguna kepada semua pembaca diluar sana yang mempunyai kucing dirumah.