Apa Yang Perlu Anda Tahu Tentang Minyak Pelincir Kereta

Pengenalan Minyak Pelincir

Enjin adalah nadi untuk sesebuah kenderaan. Komponen-komponen enjin pula majoritinya menggunakan bahan-bahan keluli yang melakukan pergerakan tertentu setiap kali enjin beroperasi. Pergerakan komponen-komponen ini akan menghasilkan tekanan dan haba yang akan mengakibatkan kehausan pada komponen-komponen yang bergeser. Jadi, untuk meminimumkan masalah ini, minyak pelincir digunakan.

Secara asasnya, minyak pelincir akan berfungsi menyerap tekanan dan geseran yang boleh menyebabkan kehausan komponen-komponen enjin. Selain daripada cecair penyejuk dan pengaliran udara, minyak pelincir juga turut memainkan peranan utama dalam fungsi pengawalan dan penyerapan haba yang terhasil daripada operasi sesebuah enjin. Enjin-enjin yang berkapasiti lebih kecil (seperti motosikal 4 lejang) akan bergantung semaksimum mungkin kepada minyak pelincir dalam mengawal suhu enjin, selain daripada aliran udara.

Mengenali API dan SAE – Apa Itu API dan SAE?

‘API’ adalah singkatan kepada ‘American Petroleum Institute’ (Institut Petroleum Amerika). Ia adalah sebuah badan yang mewakili industri petroleum dalam penggalian, pengeluaran, penghantaran, penapisan dan pemasaran. Ia juga bertanggungjawab dalam bidang kaji selidik dan pengkelasan produk petroleum. Pengeluar-pengeluar minyak pelincir akan merujuk kepada piawaian ‘API’ untuk menentukan kelas dan gred minyak pelincir keluaran mereka.

Sementara ‘SAE’ pula adalah singkatan kepada ‘Society of Automotive Engineers’ (Persatuan Jurutera Automotif). Ia adalah sebuah badan yang terlibat secara langsung dalam kaji selidik berkenaan sesuatu produk yang berkaitan dengan industri automotif termasuklah minyak pelincir.

Nota: Untuk keterangan lebih lanjut mengenai pertubuhan-pertubuhan ini, sila lawat laman web http://www.api.org/ dan http://www.sae.org/ . Laman-laman web ini berguna untuk sesiapa sahaja yang ingin menambah pengentahuan berkenaan perkembangan teknologi semasa industri automotif sedunia.

 

Gred Minyak Pelincir

Minyak pelincir untuk sesebuah enjin kenderaan terbahagi kepada dua kategori, iaitu ‘monograde’ (gred tunggal) dan ‘multigrade’ (pelbagai gred). Minyak pelincir ‘monograde’ adalah minyak pelincir yang hanya mempunyai satu kelikatan tunggal (samada semasa sejuk atau panas). Harga minyak pelincir jenis ini adalah lebih murah berbanding minyak pelincir ‘multigrade’ dan biasanya digunakan untuk kenderaan/jentera berat dan lasak atau untuk enjin kenderaan ringan yang telah berusia. Kadar kelikatan SAE 40 adalah sangat popular yang terdapat dipasaran hari ini.

Sementara minyak pelincir jenis ‘multigrade’ pula bermaksud, sesuatu minyak pelincir yang mempunyai kadar kelikatan yang boleh berubah daripada lebih cair semasa suhu sejuk kepada lebih pekat apabila kepanasan suhu meningkat. Kos pengeluaran minyak pelincir jenis ‘multigrade’ ini lebih tinggi berbanding minyak pelincir jenis ‘monograde’ tadi. Selalunya, minyak pelincir ‘multigrade’ dapat dikenal pasti daripada label yang tertera pada botol / bekas minyak pelincir tersebut.

Minyak pelincir ‘multigrade’ adalah dirujuk dengan 2 kadar kelikatan. Contohnya; SAE 10W/30, SAE 15W/50, SAE 20W/50 dan sebagainya. Konsonan ‘W’ adalah bermaksud ‘Winter’ atau ‘Wet’ iaitu kadar kelikatan sewaktu suhu enjin sejuk. Di negara-negara bermusim sejuk / salji, minyak pelincir yang mempunyai kadar kelikatan rendah adalah sangat penting bagi memudahkan enjin kenderaan dihidupkan. Manakala angka selepas tanda palang adalah bermakna kadar kelikatan sesuatu minyak pelincir itu apabila suhu enjin panas. Semakin besar angka tersebut, semakin tinggi daya tahan minyak pelincir itu terhadap kepanasan suhu operasi enjin.

Walaupun di Malaysia tidak mempunyai musim salji, minyak pelincir ‘multigrade’ ini juga turut memainkan peranan dan ia juga telah menjadi satu standard yang ditetapkan oleh pengeluar kenderaan. Anda boleh merujuk kepada Buku Panduan Pemilik yang biasanya dibekalkan oleh setiap pengeluar kenderaan. Untuk kegunaan di Malaysia, penggunaan minyak pelincir yang mempunyai kadar kelikatan yang lebih tinggi semasa enjin panas adalah lebih digalakkan. Ini kerana majoriti pemandu-pemandu di bandar-bandar besar di negara ini biasanya menghadapi masalah kesesakan lalu-lintas. Apabila kenderaan terhenti-henti, sistem penyejukan enjin yang biasanya mengharapkan kepada bantuan pengaliran udara akan menjadi kurang efisien. Kadar suhu operasi enjin akan meningkat dan pada masa inilah minyak pelincir akan memainkan peranan dalam membantu menyerap haba yang terhasil daripada operasi sesebuah enjin. Minyak pelincir yang mempunyai gred API yang lebih tinggi biasanya akan berfungsi lebih baik.

 

MINYAK PELINCIR SINTETIK SEPENUHNYA (FULLY SYNTHETIC)

Minyak pelincir jenis Sintetik Sepenuhnya (Fully Synthetic) sudah tidak asing lagi dikalangan pengguna kenderaan di negara kita. Minyak pelincir jenis ini lebih mahal dan biasanya dijual dengan harga melebihi RM100 (tertakluk kepada jenama pengeluar). Antara kadar kelikatan yang popular digunakan ialah 0W/30, 5W/40, 5W/50 atau 10W/40. Namun, sejauh manakah anda mengenali minyak pelincir ‘Fully Synthetic’ ini.

Minyak pelincir ‘Fully Synthetic’ diasaskan daripada 2 jenis bahan utama, iaitu ‘Polyalphaolefins (PAOs)’ dan ‘Ester’. ‘PAOs’ dihasilkan melalui jalinan molekul bahan kimia bersama ‘Ethylene’ untuk membentuk satu rangkaian yang seimbang serta berupaya mengekalkan kelicinan di dalam enjin. Sementara ‘Ester’ pula terhasil daripada reaksi alkohol dengan sejenis asid. Bahan-bahan ini akan diadun (blend) bersama aditif-aditif lain menggunakan kepakaran teknologi terkini mengikut formula tertentu. Proses ini akan dapat mengubah struktur molekul sintetik dan seterusnya menghasilkan produk minyak pelincir ‘Fully Synthetic ‘ untuk pasaran.

Minyak pelincir ‘Fully Synthetic’ adalah lebih sesuai untuk kegunaan enjin-enjin moden dan kurang sesuai untuk enjin-enjin lama. Ini kerana kadar kelikatannya yang rendah akan menyebabkan minyak pelincir tadi terpeluwap (vapourised). Ramai dikalangan pengguna tidak memahami faktor ini dan akibatnya mereka akan mengalami masalah minyak pelincir yang semakin hari semakin berkurangan.

Komponen-komponen enjin yang baru mempunyai kadar renggangan (gap) yang kecil. Sementara komponen-komponen enjin lama, contohnya Gelang Omboh (Piston Ring) mempunyai kadar ‘gap’ yang lebih tinggi dan ini akan menyebabkan minyak pelincir yang mempunyai kadar kelikatan rendah akan mudah tersusup masuk ke ruang pembakaran (combustion chamber). Minyak pelincir ini akan terbakar bersama bahanapi dan asap yang keluar melalui ekzos akan berwarna kebiruan dan berbau busuk.

Untuk lebih kepastian tentang kesesuaian penggunaan gred dan jenis minyak pelincir untuk kenderaan anda, sila minta nasihat daripada mekanik yang berpengalaman atau pengeluar minyak pelincir itu sendiri. Anda juga boleh merujuk laman web http://www.sae.org/news/rightoil.htm. Kesilapan pemilihan minyak pelincir mungkin tidak menampakkan kesan sampingan segera kepada enjin kenderaaan anda. Oleh itu, pastikan anda tidak membuat kesimpulan mudah yang akhirnya akan merugikan diri anda sendi

Sebagai contoh: 10w-40
W = Wet/Winter 10 = Kelikatan minyak semasa sejuk. 40 = Kelikatan minyak semasa panas. (Gred diatas ni dikenali sebagai multi grade.) Multi Grade = Boleh berubah dari cair ke pekat mengikut perubahan suhu. Mineral = Bahan dari asas petroleum. Sintetik = Minyak buatan daripada bahan kimia. Semi sintetik = Campuran dua bahan, mineral + sintetik. Kegunaan gred, bergantung pada kegunaan kenderaan korang, usia kenderaan korang dan suhu/iklim tempat korang duduk.

 

Sumber : http://apengtentangkehidupan.blogspot.my